Apabila kita melihat sesuatu perkara seperti gaya pakaian atau perilaku seseorang yang kurang sopan, kita menganggap hal itu sungguh memberi malu kepada kita. Kita mengatakan bahawa gaya pakaian dan perilaku itu menjolok mata. Frasa menjolok mata seolah-olah sudah menjadi satu bentuk bahasa klise.
Tahukah anda, selain rangkaian kata menjolok mata yang sudah klise itu, ada juga frasa lain yang bersinonim dengannya, dan kerap juga digunakan dalam berbahasa? Frasa yang dimaksudkan itu ialah mencolok mata. Agak pelik dan asing juga kepada kita yang tidak pernah mendengar frasa ini. Persoalannya, yang mana satukah antara frasa menjolok mata dan mencolok mata yang paling tepat mendukung maksud memberi malu itu?
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, kata menjolok mempunyai beberapa maksud tertentu. Pertama, menusuk (merodok) sesuatu dengan galah dan lain-lain supaya gugur, atau menusuk sesuatu ke dalam lubang. Makna kedua, memasukkan jari tangan ke dalam lubang hidung, kerongkong, dan lain-lain; dan ketiga, memancing-mancing keterangan dan lain-lain sebagainya daripada orang, mengajuk, atau menduga hati orang. Contoh ayatnya:
1. Tidak ada cara lain selain menjolok buah manggis itu supaya gugur.
2. Ia menjolok lubang itu supaya tikus di dalamnya keluar.
3. Janganlah engkau cuba menjoloknya dengan soalan-soalan yang sama, dia tetap tidak akan membuka rahsianya.
Kata mencolok juga mendukung beberapa makna. Pertama, mencucuk mata. Kedua, (pengertian kiasan) tampak jelas, kelihatan jelas benar; dan makna ketiga ialah membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, dan memberi malu.
Jadi, antara menjolok mata dengan mencolok mata, yang tepat ialah mencolok mata, iaitu bahasa kiasan yang menyatakan tampak jelas atau kelihatan jelas benar, selain makna membangkitkan kemarahan orang, atau memberi malu. Penggunaan frasa ini dalam ayat adalah seperti yang berikut:
4. Kakitangan sektor awam dilarang memakai pakaian yang
mencolok mata semasa bertugas di pejabat.
5. Apabila berlaku peristiwa-peristiwa yang mencolok mata,
menyakitkan hati, kita hanya mampu menggeleng-gelengkan
kepala sahaja.
Blog ini adalah khas untuk ruang BAHASA MELAYU. Pelbagai maklumat tentang Bahasa Melayu boleh diperoleh daripada blog ini.
Isnin, 24 Ogos 2009
Sembang-sembang BAHASA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Design by Gisele Jaquenod
0 ulasan:
Catat Ulasan